Universiti Aceh teroka model pendidikan Spura

. Senin, 30 Desember 2013

ISNIN, 9 APRIL 2012

Teuku Haji Muhammad Sulaiman Shah (kanan) bekerjasama dengan Encik Salleh Ikhsan (kiri) dari Singapura untuk meningkatkan taraf pendidikan sebuah universiti di Banda Aceh.



SINGAPURA - SEBUAH universiti swasta dari Banda Aceh, Indonesia, sedang meneroka peluang mempelajari model pendidikan Singapura demi meningkatkan taraf pendidikannya.

Universitas Serambi Mekkah turut mencari pelabur Singapura dalam usahanya mengembangkan lagi universiti yang sedang pesat membangun itu.

Ini dinyatakan Ketua Umum Yayasan Pembangunan Serambi Mekkah - badan pengurusan universiti itu - Teuku Haji Muhammad Sulaiman Shah, ketika ditemui, kelmarin.

Beliau berada di Singapura untuk menimba pengalaman negara ini dan meninjau kerjasama untuk mengembangkan lagi universitinya, yang mempunyai lebih 27,000 mahasiswa dan menerima 3,000 lagi pelajar baru setiap tahun.

Institusi berusia 27 tahun itu mempunyai lapan fakulti terdiri daripada lima fakulti pendidikan sekular - Ekonomi, Keguruan dan Ilmu Pendidikan, Kesihatan Masyarakat, Teknik dan Teknologi Pertanian - serta tiga fakulti pembelajaran Islam - Tarbiyah, Dakwah dan Syariah.

Haji Sulaiman berkata banyak boleh dipelajari dari Singapura.

Tanah Aceh kaya raya tetapi seperti gunung yang diam, kalau kita tidak olah, hanya rumput yang tumbuh. Padahal bumi Aceh bermacam-macam - ada permata, emas, ikan, hutan pun luar biasa. Apakah cukup kita tonton sahaja? Ini membutuhkan teknologi, katanya.

Namun, Haji Sulaiman, 70 tahun, akur kemajuan akan mengambil masa dan ia harus bermula dengan pendidikan.

Beliau mempunyai visi menjadikan universiti itu bertaraf antarabangsa dan mengenal pasti dua aspek yang harus dipertingkat iaitu teknologi dan bahasa Inggeris.

Beliau kini bekerjasama dengan firma perundingan pengurusan dan pendidikan Singapura, Experitas Group.

Pengarah eksekutif firma itu, Encik Salleh Ikhsan, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pihak universiti itu dalam tiga perkara - membantu mendirikan Pusat Bahasa Inggeris bagi melatih pensyarah, guru dan pelajar; menyemak kurikulumnya; dan melakar saranan bagi menubuhkan sekolah-sekolah baru.

Menurutnya, sekolah-sekolah baru itu, di bawah naungan Yayasan Pembangunan Serambi Mekkah, akan ditubuh dari peringkat sekolah rendah hingga prauniversiti berdasarkan model pendidikan Singapura.

0 komentar: